Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
25.6.2020
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Pada majlis ini, Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM dan Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkenan mengurniakan sumbangan daripada MAIWP sejumlah RM1.8 juta kepada 6,000 orang veteran ATM dalam kalangan B40. Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 orang veteran ATM sebagai simbolik perkenan Seri Paduka Baginda berangkat menyantuni golongan veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara. Turut hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob; Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), YB Tuan Haji Ahmad Marzuk Shaary; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Pengerusi MAIWP, Dato' Sri Syed Hussien AlHabshee; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohd Ajib bin Ismail.
Sumber: Istana Negara