Konsep & Rekabentuk Bangunan
Article Index
PINTU UTAMA
GAMBAR KUBAH
GAMBAR DEWAN SOLAT
GAMBAR TAPAK KESELURUHAN
Pusat komuniti dan kompleks ilmu dicantumkan untuk menjadi asas kepada konsep rekabentuk masjid ini.Masjid Wilayah Persekutuan adalah salah sebuah masjid yang utama di Kuala Lumpur, Malaysia. Masjid ini terletak berdekatan kompleks Matrade dan pejabat kerajaan di Jalan Duta.Seni bina masjid ini adalah berdasarkan lukisan semula Masjid Othman yang penuh dengan sejarah kegemilangan pada kurun ke-16.Masjid ini mempunyai seni bina Timur Tengah dan seni bina Melayu. Masjid ini juga mempunyai pengaruh seni bina Masjid Biru di Istanbul, Turki.
Rekabentuk kubahnya adalah merupakan cantuman beberapa buah kubah yang terdiri daripada sebuah kubah utama,kubah-kubah separuh,(half-domes),sebuah 'vault' dan kubah-kubah kecil lain di atas Ruang Solat Utama.Kubah utamanya bergaris pusat 30 meter dengan ketinggianya mencapai sehingga 45 meter dari atas lantai Ruang Solat Utama.Secara keseluruhannya terdapat 22 buah kubah di masjid ini.Sebuah halaman terbuka yang dinamakan Laman Hidayah dibina di tengah - tengah bangunan bagi tujuan limpahan aktiviti solat dan ia juga berfungsi sebagai ruang interkasi terbuka.Dewan solat utama, dewan serbaguna dan asrama dilengkapi dengan sistem hawa dingin. Masjid ini juga dilengkapi dengan sistem pemadam-kebakaran, perkhidmatan lif ke tingkat 4, dan eskalator yang menghubungkan tingkat 1 dan 3.
Material yang digunakan pada hiasan dan tatahias luaran dan dalaman Masjid Wilayah ini berasaskan kayu dan batu. Ukiran-ukiran lebih bertumpu kepada komponen yang diperbuat daripada kayu seperti yang dapat dilihat pada pintu, tingkap dan sebahagian jeriji di dinding masjid. Pemidang di dewan solat wanita dan mimbar juga diperbuat daripada kayu yang telah diukir.......
Ukiran yang halus dan unik boleh dilihat pada dinding kemasan batuan simen, manakala silingnya berturap simen telah dibentuk dan diukir mengikut acuan. Motif kebanyakan ukiran kayu yang menghiasi masjid ini berbentuk awan larat yang diambil daripada bentuk-bentuk lima jenis bunga harum seperti bunga tikam seladang (bunga mas), cempaka, kenanga, tanjung, melur serta daun yang menghijau seperti paku pakis.
Kayu-kayu hiasan terdiri daripada jenis kayu cengal yang diukir oleh tukang-tukang mahir tempatan yang didatangkan dari Terengganu dan Kelantan. Bahagian dalam masjid dihiasi dengan lampu-lampu yang mengeluarkan cahaya bergemerlapan. Lampu candelier yang digantung pada sebelah dalam kubah utama pula berbentuk moden dan eksklusif. Keindahannya terserlah apabila semua lampu itu dipasang terutama pada waktu malam.
Ukiran batu pula dibuat pada pintu gerbang utama dan mihrab. Jenis batu yang digunakan terdiri daripada batu marmar Makarana. Pembuatan batu ini diselenggarakan di tiga pusat yang terletak di Agra, Jaipur dan Makarana di Rajestan, India. Batu-batu ini diukir oleh pengukir mahir di India dengan menggunakan konsep in lay daripada jenis batu permata dan dipasang di tapak binaan oleh pekerja-pekerja tempatan dan dikemaskinikan serta dihalusi oleh pekerja India.
Penggunaan batu permata pelbagai jenis seperti batu lapisan lazuli, black onyx, malachite, red and golden jasper, mother of pearl dan tiger eye menjadikan Masjid Wilayah ini begitu istimewa. Tulisan khat jenis Thuluth turut memainkan peranan penting dan amat bermakna sebagai hiasan kaligrafi kepada Masjid Wilayah ini. Ia diterapkan di tempat-tempat tertentu supaya mudah dihayati dan difahami terutama di gerbang pintu masuk.
Lorong siar kaki yang disediakan di sekitar kolam ditaburi dengan batu-batu kecil dari sungai. Kolam air yang dilengkapi dengan tujuh pancutan halus dan air terjun buatan menambahkan lagi kelembutan dan ketenangan di situ. Kolam ini dilengkapi dengan bio-filter bagi menjaga kebersihan sepanjang masa........
PELAN LANTAI
Lanskap
Konsep lanskap bagi masjid ini ialah, masjid dalam taman istana yang berunsurkan keislaman. Taman yang menarik, melengkapkan masjid sebagai pusat pendidikan, kajian dan rekreasi. Masjid yang dikelilingi kolam air menimbulkan suasana nyaman, tenteram dan tenang. Kawasan masjid juga dilengkapi dengan laluan pejalan kaki dan pancutan air. Pelawat akan tertarik dengan keindahan pelbagai spesis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan yang ditanam di sini.
Bagi mengimbangi pembangunan dan mewujudkan suasana mesra kepada alam semula jadi, Masjid Wilayah dihiasi dengan seni lanskap yang terdiri daripada kepelbagaian jenis pepohonan termasuk pokok-pokok herba. Taman di masjid ini terbahagi kepada tiga, iaitu taman hutan, taman riadah dan taman perubatan.Taman-taman dan kolam buatan saling lengkap-melengkapi antara satu dengan yang lain sehingga menerbitkan suasana nyaman dan tenteram kepada para pengunjung masjid.