AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH SWT IALAH ISLAM
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya agama yang diredhai Allah ialah islam….” (al-‘imran :19)
“Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya…” (al-‘imran : 85)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sekalian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan.” Sahabat baginda bertanya : “ Ya Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?” Baginda menjawab : “Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga, dan sesiapa yangderhaka kepadaku maka sesungguhnya ia telah enggan.”
( hadith Bukhari )
Hadith ini mengandungi :
1. Manusia wajib mematuhi satu undang-undang yang tertentu.
2. Kepatuhan yang sempurna kepada undang-undang itu sahajalah yang menyebabkan kebahagiaan seseorang di dunia dan di akhirat.
Huraian :
1. Manusia wajib mematuhi satu undang-undang yang tertentu.
· Untuk memastikan kesempurnaan setiap makhluk di dunia ini, undang-undang khas perlu dipatuhi. Maka manusia sebagai makhluk yang mempunyai jasmani dan rohani wajib mematuhi undang-undang khas yang telah ditetapkan untuk rohani dan jasmaninya.
· Undang-undang itu ialah Islam ( hukum-hukum syara’ dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh utusan Allah SWT ).
2. Kepatuhan yang sempurna dan balasannya.
· Setiap amal; meliputi kepercayaan, tutur kata dan perbuatan, ada balasan yang sesuai dengannya, samada baik atau sebaliknya ; dan segala kesenangan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat adalah hasil dari kepatuhan ( Islam ) yang sempurna dalam mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang.
· Oleh kerana kesenangan dan kebahagiaan sejati hanya terdapat di akhirat, maka balasan syurga dan segala nikmat di dalamnya hendaklah menjadi harapan yang utama kepada setiap orang dengan mematuhi ajaran islam.