Perutusan Imam Besar
- Details
- Disiarkan: 25 Mac 2019
TUAN HAJI EHSAN BIN MOHD HOSNI
Setinggi - tinggi syukur dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya Laman Sesawang Rasmi Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat disempurnakanakhirnya. Berkat usaha yang berterusan tanpa mengenal jemu semua yang terlibat terutama unit ICT Masjid dan bahagian ICT JAWI maka Laman Sesawang rasmi yang menjadi idaman sekian lama terhasil dengan baik. Arus perkembangan dan kepesatan teknologi maklumat yang begitu deras memungkinkan masyarakat dunia mendapatkan maklumat dalam sekelip mata.
Dunia nan luas kini menjadi sebuah perkampungan kecil yang boleh dilawati dan diterokai dengan mudah. Sewajarnya, kemajuan teknologi dan perkembangan ICT ini harus diambil peluang dan dimanafaatkan sebaik mungkin oleh setiap institusi agama khususnya Masjid untuk kepentingan dakwah dan menarik serta mendekatkan masyarakat terutama golongan muda – mudi kepada Masjid yang pastinya bermula dengan langkah pertama mereka hadir ke rumah Allah menunaikan solat jemaah dan menghadiri program – program pengimarahan.
Jesteru, Laman web rasmi Masjid Wilayah Persekutuanpastinya akan menjadi medium rasmi untuk masyarakat mengenali, mendekati dan mencintai Masjid ini. Laman Sesawang rasmi ini juga akan dimanafaatkan oleh pihak masjid bagi menghebahkan semua aktiviti pengimarahan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di Masjid ini seperti kelas – kelas pengajian, ceramah, seminar, forum , kursus dan sebagainya . Akhirnya, saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat menghasilkan laman web rasmi Masjid ini. Semoga semangat dan kerja kuat yang ditunjukkan ini terus dikekalkan dalam membangun dan menambah baik laman web ini dari masa ke semasa. Saya juga mengalu – alukan kunjungan semua ke Laman Sesawang rasmi ini dan mengharapkan teguran dan pandangan membina dalam menambah baik laman web rasmi Masjid Wilayah Persekutuan ini.Sekian terima kasih.